Seorang anggota simpanan Israel ditahan kerana disyaki membocorkan maklumat sulit mengenai sistem pertahanan udara Iron Dome (Kubah Besi) negara itu kepada perisikan Iran, kata pihak berkuasa pada Jumaat, menurut laporan Anadolu.
Dalam satu kenyataan bersama, polis Israel dan agensi keselamatan Shin Bet (Shabak) berkata, suspek berkhidmat dalam unit tentera yang bertanggungjawab untuk sistem pertahanan udara dan telah ditangkap atas dakwaan pengintipan bagi pihak Iran.
Askar berusia 26 tahun itu, yang dikenal pasti sebagai Roz Cohen, ditahan susulan siasatan rahsia.
Pihak berkuasa berkata, Cohen telah berhubung dengan perisikan Iran selama berbulan-bulan dan didakwa menyampaikan maklumat sensitif berkaitan sistem Iron Dome.
Para pegawai berkata butiran lanjut mengenai siasatan dan dakwaan kebocoran risikan akan didedahkan kepada umum dalam beberapa hari akan datang.
Sistem Iron Dome telah memainkan peranan penting dalam memintas serangan balas daripada Iran susulan serangan dilancarkan oleh Israel dan AS pada 28 Feb.
Rangkaian pertahanan Israel termasuk sistem Iron Dome yang direka untuk memintas roket jarak dekat, David’s Sling untuk ancaman jarak sederhana dan sistem pertahanan peluru berpandu Arrow jarak jauh.























