Pengerusi Majlis Kedaulatan Peralihan Sudan, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan berikrar akan membalas dendam atas pertumpahan darah awam oleh Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera, lapor Anadolu.
“Kami akan membalas dendam terhadap mereka yang terbunuh dan dizalimi di El-Fasher, Geneina, Al-Jazira, dan bandar serta kawasan lain yang dicabuli oleh militia RSF,” Burhan dilapor berkata semasa pertemuannya dengan komander tentera lewat Rabu.
“Kempen yang diketuai oleh pasukan kezaliman dan keangkuhan terhadap Sudan akan dikalahkan, dan rakyat Sudan akan menang,” Burhan dilapor berkata dalam komennya yang dipetik kenyataan dikeluarkan oleh majlis itu.
Burhan, yang juga merupakan ketua tentera, menegaskan tentera bertekad “untuk menghancurkan militia pemberontak dan mengamankan sempadan negara Sudan”.
“Dengan kekuatan, keazaman, dan kegigihan, kita akan mencapai kemenangan ke atas militia pemberontak dan menghapuskannya sepenuhnya,” tambahnya.
RSF menawan El-Fasher, ibu negeri Darfur Utara dan sebuah bandar strategik di rantau itu, pada 26 Oktober dan melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam, menurut organisasi tempatan dan antarabangsa, mencetuskan amaran bahawa pengambilalihan itu boleh mengukuhkan pembahagian geografi negara dilanda perang itu.























