Seorang nelayan Pakistan terbunuh selepas serpihan daripada projektil Israel yang dipintas oleh sistem pertahanan udara Iran menghentam botnya di perairan Iran, kata seorang pegawai Pakistan pada Ahad, berita Anadolu melaporkan.
Kejadian itu berlaku pada Sabtu, kata Shahid Rind, jurucakap wilayah barat daya Balochistan.
Mangsa dikenal pasti sebagai Muhammad Tayyab, penduduk Ganz, sebuah pekan kecil di daerah Gwadar.
Pegawai Polis Daerah Attaur Rehman memberitahu akhbar tempatan Dawn bahawa Tayyab “masuk ke perairan Iran untuk mendapatkan minyak Iran” yang kadangkala diseludup ke Pakistan dan dijual pada kadar lebih murah.
Kematian itu menjadikan jumlah warga Pakistan yang terbunuh di luar negara dalam konflik serantau yang sedang berlaku kepada tiga orang, menurut Anadolu, dua warga Pakistan lain dilaporkan terbunuh sebelum ini di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Ketegangan di Timur Tengah telah meningkat sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Iran pada 28 Feb, mengorbankan lebih 1,200 orang, termasuk Pemimpin Agung Iran Ali Khamenei, pelajar dan pegawai kanan tentera.
























