Gempa bumi berukuran 5.3 magnitud melanda wilayah Epirus, barat laut Greece pada awal Ahad, merosakkan rumah, gereja dan bangunan awam lain di Thesprotia dan Ioannina, kira-kira 330-380 km barat laut Athens, kata pihak berkuasa tempatan, berita Xinhua melaporkan.
Xinhua melaporkan, menurut penyiar kebangsaan Greece, ERT, kerosakan pertama dilaporkan di kampung Polydroso di perbandaran Souli, dekat pusat gempa.
Pasukan teknikal dari perbandaran telah memeriksa bangunan, dengan beberapa rumah dianggap tidak boleh didiami, kata Datuk Bandar Souli, Thanasis Danis.
Penduduk masih bimbang kerana berpuluh-puluh gegaran susulan terus menggegarkan kawasan itu. Pihak berkuasa berkata orang ramai yang rumahnya terjejas akan ditempatkan sementara di sebuah hotel.
Kerosakan serius juga direkodkan di kampung Psina di perbandaran Dodoni, di Ioannina, kira-kira 360 km barat laut Athens. Gereja tempatan Agia Marina mengalami kerosakan struktur yang besar, dengan sebahagian bangunan runtuh, manakala gereja pusat kampung, Panagia, mengalami retakan besar.
Sebuah bangunan sekolah lama dan beberapa buah rumah di kampung itu turut terjejas.
Sementara itu, tanah runtuh berlaku di jalan nasional lama Igoumenitsa-Ioannina, mendorong pihak berkuasa tempatan untuk menggunakan jentera bagi membersihkan serpihan dan memulihkan trafik. Tiada korban dilaporkan setakat ini.























