Tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan lebat baru-baru ini di tapak perlombongan coltan di timur Republik Demokratik (DR) Congo mengorbankan 10 orang dan menyebabkan berpuluh-puluh orang hilang, berita Anadolu memetik laporan media tempatan pada Sabtu.
Tanah runtuh itu berlaku sekitar jam 4 pagi waktu tempatan pada Sabtu di kawasan perlombongan Rubaya di wilayah Masisi, Kivu Utara, susulan hujan lebat, lapor Anadolu memetik Radio Okapi.
Sepuluh mayat telah dikeluarkan pada tengah hari, termasuk enam kanak-kanak, kata laporan itu, memetik saksi mata.
“Beberapa rumah yang terletak di kawasan sekitar telah dilitupi sepenuhnya oleh tanah runtuh itu. Sepuluh orang yang cedera telah dibawa ke kemudahan perubatan tempatan.”
Tanah runtuh itu dilaporkan bermula dari satu titik dekat aci tapak perlombongan Gakombe, sebelum menyapu kawasan di bawahnya, di mana ramai pelombong artisan bekerja.
Media tempatan melaporkan, penduduk dan pelombong lain cuba, dengan cara sementara, untuk mencari mangsa yang mungkin terselamat dan mengeluarkan mayat yang masih tertimbus di bawah runtuhan.
Tanah runtuh terbaru itu berlaku tiga hari selepas satu lagi bencana melanda tapak yang sama minggu ini, mengorbankan lebih 200 orang, menurut kerajaan, lapor Anadolu.
Awal Januari, satu lagi bencana telah menyebabkan lebih 400 orang terkorban, menurut media tempatan, lapor Anadolu.
Kawasan perlombongan yang kaya dengan mineral termasuk coltan, kasiterit, emas dan turmalin itu telah berada di bawah kawalan pemberontak M23 sejak 2024.
Kerajaan masih belum membuat sebarang pengumuman rasmi mengenai kejadian itu.
























