Satu tinjauan pendapat Reuters/Ipsos mendapati 43 peratus tidak bersetuju dengan serangan terbabit, manakala hanya kira-kira satu daripada empat responden mengatakan mereka menyokong serangan AS-Israel, lapor Aljazeera.
Tinjauan pendapat itu membabitkan lebih 1,200 orang dewasa AS dan dijalankan pada hujung minggu.
Tinjauan pendapat CNN berasingan yang dijalankan oleh SSRS antara 28 Februari dan 1 Mac mendapati tentangan yang lebih kuat, dengan hampir enam daripada 10 rakyat Amerika mengatakan mereka tidak bersetuju dengan keputusan untuk mengambil tindakan ketenteraan di Iran. Empat puluh satu peratus mengatakan mereka bersetuju.
Tinjauan CNN juga mendapati bahawa kira-kira enam daripada 10 responden mengatakan mereka tidak percaya Presiden Donald Trump mempunyai rancangan yang jelas untuk menangani situasi terbabit, manakala 39 peratus mengatakan AS tidak melakukan usaha diplomatik yang mencukupi sebelum menggunakan kekerasan tentera.
Tinjauan pendapat itu menunjukkan jurang partisan yang ketara: 82 peratus Demokrat dan 68 peratus bebas mengatakan mereka tidak bersetuju dengan serangan terbabit, berbanding dengan 23 peratus Republikan.























