Lebih 200 orang terbunuh pada Selasa dalam keruntuhan lombong di timur Republik Demokratik Congo (DRC), kata kerajaan DRC pada Rabu, berita Xinhua melaporkan.
Insiden itu berlaku di tapak perlombongan Rubaya, yang terkenal dengan sumber coltan, di wilayah Kivu Utara susulan “hujan yang sangat lebat,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perlombongan DRC.
Menurut angka sementara, lebih 200 orang kehilangan nyawa, termasuk sekitar 70 kanak-kanak bawah umur.
Zon perlombongan Rubaya telah berada di bawah kawalan kumpulan pemberontak Gerakan 23 Mac (M23) sejak 2024, menjadikan operasi menyelamat amat sukar, kata kenyataan itu.
Kementerian itu menyatakan zon perlombongan itu sebelum ini telah diklasifikasikan semula sejak November sebagai “zon merah” satu sebutan yang secara rasmi melarang perlombongan dan perdagangan mineral.
“Memang berlaku tanah runtuh susulan hujan lebat di gunung yang dikenali sebagai Kasasa. Bumi telah menelan ramai orang,” kata David Kasereka, seorang pelombong artisanal dan penduduk Rubaya, kepada Xinhua pada Selasa.
Pada Januari, sekurang-kurangnya 200 orang terbunuh selepas beberapa aci runtuh di tapak perlombongan coltan di Rubaya, lapor Xinhua, media tempatan melaporkan jumlah kematian mungkin melebihi 400 orang, tidak termasuk mereka yang masih hilang.
Coltan, atau columbite-tantalite, merupakan sumber utama tantalum, sejenis logam yang jarang ditemui digunakan dalam pengeluaran peranti elektronik canggih. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan lombong Rubaya sahaja menyumbang kira-kira 15 peratus daripada bekalan tantalum global.























