Jumlah kematian dalam letupan besar-besaran di kilang pembuatan bahan letupan perindustrian di negeri Maharashtra, barat India, meningkat kepada 19 orang, kata pegawai pada Isnin, lapor berita Xinhua.
Dua puluh tiga orang lagi yang cedera dalam letupan itu sedang menjalani rawatan di pelbagai hospital.
Letupan di SBL Energy Limited berlaku pada pagi Ahad di kampung Raulgaon di daerah Nagpur, kira-kira 791 km timur laut Mumbai, ibu kota Maharashtra.
“Hari ini, seorang pekerja yang cedera meninggal dunia di hospital, menjadikan jumlah kematian kepada 19 orang,” seorang pegawai polis dilapor berkata.
Kerajaan tempatan telah mengarahkan siasatan bagi memastikan punca kemalangan itu.
Sementara itu, polis telah menahan sembilan pengarah SBL Energy Limited, dan usaha sedang dijalankan untuk menangkap baki tertuduh dalam kes itu.
Menurut Xinhua, seorang menteri kerajaan tempatan, Chandrashekhar Bawankule, memberitahu media bahawa terdapat “kecuaian” di pihak SBL Energy Limited, dan langkah keselamatan tidak dipatuhi oleh pengeluar bahan letupan itu.























