Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kuwait berkata pada Ahad empat orang terbunuh dan 90 yang lain cedera dalam serangan peluru berpandu dan dron Iran susulan serangan AS-Israel ke atas Iran, lapor Anadolu.
Menurut Anadolu, Kementerian Pertahanan UAE berkata dalam satu kenyataan, pertahanan udara memintas dan memusnahkan 20 peluru berpandu balistik, dua peluru berpandu jelajah dan 311 dron pada Ahad, dengan lapan peluru berpandu jatuh ke laut, manakala 21 dron melanda sasaran awam.
Kementerian itu berkata 165 peluru berpandu balistik dan 541 dron dikesan dilancarkan dari Iran sejak Sabtu, dengan 152 peluru berpandu dan 506 dron dipintas, manakala 35 daripadanya jatuh di dalam wilayah negara itu, menyebabkan kerosakan material.
Ia menambah bahawa tiga orang dari Pakistan, Nepal dan Bangladesh terbunuh, manakala 58 orang dari pelbagai negara cedera dalam serangan itu.
Menurut Anadolu, Kementerian Kesihatan Kuwait juga berkata seorang terbunuh dan 32 yang lain cedera di tengah-tengah peningkatan ketegangan serantau semasa.
AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran bermula Sabtu, membunuh beberapa pemimpin tertinggi Iran, termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei. Tehran membalas dengan beberapa siri serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, aset AS dan beberapa negara Teluk.
















































