Angkatan tentera Iran berkata pada Ahad, empat pegawai kanan tentera terbunuh dalam serangan AS-Israel ke atas negara itu yang bermula sehari sebelumnya, menurut berita Anadolu memetik laporan agensi berita Fars.
Satu kenyataan mengatakan pegawai-pegawai itu disasarkan semasa menghadiri mesyuarat Majlis Pertahanan.
Kenyataan itu menambah bahawa mereka yang terbunuh dalam serangan itu ialah Ketua Staf Am Abdolrahim Mousavi, komander Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Mohammad Pakpour, Setiausaha Majlis Pertahanan Ali Shamkhani, serta Menteri Pertahanan dan Logistik Angkatan Tentera Aziz Nasirzadeh.
Menurut Anadolu, media kerajaan juga melaporkan kematian pegawai kanan Kementerian Perisikan Mohammad Baseri dalam serangan AS-Israel.
Ketua perisikan polis Iran, Gholamreza Rezaian, juga dilaporkan terbunuh dalam serangan itu.
Pihak berkuasa Iran bagaimanapun masih belum mengesahkan pembunuhan itu.
Selain komander tertinggi, Pemimpin Agung Ayatollah Khamenei juga dibunuh. Tempoh berkabung selama 40 hari telah diisytiharkan dan majlis sementara dinamakan sehingga pengganti dipilih, menurut laporan Anadolu.
Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Sabtu, dengan Tehran melancarkan serangan balas peluru berpandu dan dron.
















































