Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, berkata selepas pusingan ketiga rundingan Iran-AS bahawa rundingan itu mencapai kemajuan yang baik, sambil menambah bahawa selepas berunding dengan ibu negara masing-masing, pusingan keempat akan diadakan minggu depan, lapor berita Mehr.
Araghchi dilaporkan bercakap dengan media Iran selepas pusingan ketiga rundingan Iran-AS berakhir di Geneva pada Khamis.
Dia dilapor berkata bahawa selepas berjam-jam rundingan dengan AS, ‘kemajuan baik’ telah dicapai dan mengenai beberapa isu.
Menurut berita Mehr, dia menambah bahawa kedua-dua pihak mencapai ‘persefahaman yang erat’, sementara beberapa perbezaan masih wujud dalam bidang tertentu.
“Kami semakin hampir dengan persefahaman bersama mengenai beberapa isu utama,” kata ketua pasukan rundingan Iran itu, menurut Mehr.
Dia memuji rakan sejawatnya dari Oman atas usahanya untuk memudahkan rundingan Iran-AS.
Dia juga dilapor berkata, pusingan terbaru itu merupakan salah satu pusingan rundingan nuklear paling serius dan terpanjang.
Araghchi juga dilapor berkata, “pasukan teknikal dijadualkan untuk memulakan dan menyemak semula perbincangan teknikal di Vienna pada Isnin, sambil menambah bahawa “pusingan rundingan baharu akan diadakan dalam masa kurang dari seminggu”.
“Kami telah menyampaikan tuntutan kami dengan jelas mengenai penarikan balik sekatan,” dia dilapor berkata.
“Rundingan perlu diadakan di ibu negara masing-masing, dan kemudian kami akan mengadakan pusingan keempat rundingan minggu depan,” perunding utama Iran itu menyimpulkan.

















































