Badan pemantau data Britain pada Selasa mendenda platform media sosial AS Reddit sebanyak 14.47 juta pound British (kira-kira 19.5 juta dolar AS) kerana menggunakan maklumat peribadi kanak-kanak secara haram, lapor berita Xinhua.
Siasatan oleh Pejabat Pesuruhjaya Maklumat (ICO) mendapati Reddit tidak “menggunakan sebarang mekanisme jaminan umur yang mantap” dan oleh itu tidak mempunyai asas yang sah untuk memproses maklumat peribadi kanak-kanak di bawah umur 13 tahun.
Badan kawal selia itu juga mendapati Reddit gagal menjalankan Penilaian Impak Perlindungan Data yang diperlukan sebelum Januari 2025.
Menurut Xinhua, ICO berkata, kegagalan itu mengakibatkan pemprosesan data kanak-kanak secara haram dan mendedahkan mereka kepada kandungan berbahaya.
Menyebut amalan privasi syarikat itu sebagai “tidak boleh diterima” Pesuruhjaya Maklumat UK John Edwards mengkritik Reddit kerana gagal memenuhi kewajipan undang-undangnya untuk melindungi data kanak-kanak dan memastikan persetujuan pengguna yang mencukupi.
Langkah itu susulan pertimbangan Britain baru-baru ini untuk mengetatkan sekatan ke atas penggunaan platform media sosial kanak-kanak. Di peringkat global, kerajaan semakin memetik kebimbangan mengenai risiko kesihatan mental, buli siber dan pendedahan kepada kandungan berbahaya sebagai alasan untuk sekatan dan larangan umur yang dicadangkan.
















































