Pihak berkuasa Iran menahan lapan warga asing di tenggara negara itu atas dakwaan kaitan dengan perkhidmatan perisikan asing, berita Anadolu memetik laporan media tempatan pada Rabu.
Menurut Anadolu, agensi berita Mehr separa rasmi berkata tiga warga asing lain turut terbunuh semasa operasi keselamatan di sempadan tenggara Iran.
Pihak berkuasa tidak menyatakan kewarganegaraan mereka yang ditahan atau terbunuh dalam serbuan itu.
Mehr dilapor berkata, sejumlah besar senjata pelbagai jenis telah ditemui dan dirampas dari tempat persembunyian mereka dan rumah disasarkan, termasuk pelancar RPG-7, raifal M4 buatan AS yang dilengkapi dengan peranti penglihatan malam, beberapa raifal AK-47 yang dilengkapi dengan pelancar grenad, dan pistol.
Semasa soal siasat awal, suspek yang ditangkap didakwa mengakui penglibatan mereka dalam serangan baru-baru ini di pusat pemeriksaan polis di bandar tengah Kerman, yang mana tiga pegawai dan seorang awam terbunuh, kata agensi itu, menurut Anadolu.
Serbuan itu berlaku di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat antara Iran dan AS, menjelang pusingan baharu rundingan nuklear tidak langsung antara kedua-dua pihak di bawah pengantaraan Oman di Geneva pada Khamis.
AS telah meningkatkan kehadiran ketenteraannya dengan ketara di rantau Teluk Parsi, sementara Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran menjalankan beberapa siri latihan ketenteraan untuk sebarang potensi perang.

















































