Lebih 2,500 isi rumah kehilangan tempat tinggal selepas dua sungai melimpah tebingnya dan membanjiri beberapa kampung di tengah-timur Republik Demokratik Congo, kata seorang pemimpin masyarakat sivil lewat Ahad, menurut berita Anadolu.
Hujan lebat di wilayah Maniema sejak kebelakangan ini menyebabkan Sungai Congo dan Sungai Ulindi melimpah, menyebabkan ratusan penduduk di kampung-kampung Kasera, Tubila dan Ulindi kehilangan tempat tinggal, kata Jean-Claude Ngoy, ketua masyarakat sivil di wilayah Punia.
“Sekurang-kurangnya 2,533 isi rumah terjejas selepas rumah mereka ditenggelami air. Kami merayu kepada pihak berkuasa wilayah dan kebangsaan serta kepada aktor kemanusiaan untuk mendapatkan sokongan,” kata Ngoy kepada pemberita.
Menurutnya, banjir itu juga memusnahkan infrastruktur, termasuk sekolah, kemudahan kesihatan dan sumber air minuman.
Pasukan penilaian yang terdiri daripada pihak berkuasa tempatan, wakil masyarakat sivil dan pemimpin komuniti mendapati penduduk terjejas boleh menghadapi kelaparan kerana ladang makanan dan kolam ikan mereka tenggelam, kata Ngoy.

















































