Pasukan keselamatan Indonesia pada Ahad terus memindahkan pekerja, termasuk 26 warga China, dari tapak perlombongan emas di wilayah Papua Tengah susulan serangan bersenjata yang mengorbankan dua orang, menurut berita Anadolu memetik laporan media tempatan.
Pemindahan bermula selepas penyerang daripada kumpulan bersenjata yang dikenali sebagai KKB melancarkan serangan pada Sabtu di tapak perlombongan terpencil itu, Anadolu memetik Agensi Berita Antara Indonesia.
Samuel Tatiratu, pesuruhjaya kanan tambahan kepada ketua polis Nabire, dilapor berkata 75 orang telah dipindahkan di sepanjang Sungai Musairo setakat Ahad.
Pihak berkuasa masih berusaha untuk mengenal pasti salah satu mayat, katanya.
Serangan itu menyusuli satu lagi insiden awal bulan ini di mana militan KKB menembak sebuah pesawat kecil dan membunuh juruterbang dan pembantu juruterbangnya.
Papua Tengah adalah sebahagian daripada wilayah paling timur Indonesia yang bergolak, di mana pemberontakan pemisah telah berterusan selama beberapa dekad, dengan kumpulan bersenjata menyasarkan pasukan keselamatan dan orang awam.























