Dua rakyat Palestin terbunuh dan lima lagi cedera pada Sabtu dalam serangan Israel ke atas pelbagai kawasan di Jalur Gaza, meskipun terdapat perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025, lapor berita Anadolu.
Seorang lelaki warga emas Palestin terbunuh apabila sebuah dron Israel menjatuhkan bom di pekan Jabalia di utara Gaza, lapor Anadolu memetik sumber perubatan yang memberitahunya.
Tidak lama sebelum itu, seorang lelaki Palestin berusia 46 tahun terbunuh dalam serangan Israel yang menyasarkan kawasan Qizan al-Najjar, selatan Khan Younis di selatan Jalur Gaza, sumber yang sama dilapor berkata.
Menurut Anadolu, sumber perubatan juga melaporkan seorang wanita Palestin berusia 23 tahun ditembak di leher oleh tembakan dron Israel di kawasan kejiranan Shejaiya, timur bandar Gaza.
Terdahulu, tiga rakyat Palestin cedera akibat tembakan Israel di timur Jalan Omar al-Mukhtar di Shejaiya, dengan seorang dilaporkan berada dalam keadaan serius, menurut sumber perubatan.
Di utara Gaza, seorang lagi rakyat Palestin cedera di dada dan tangan akibat tembakan Israel di Jabalia al-Balad, tambah sumber terbabit.
Serangan itu berlaku di kawasan di luar kawalan dan penempatan tentera Israel seperti yang digariskan dalam perjanjian gencatan senjata.
Gencatan senjata disokong AS telah dilaksanakan di Gaza sejak 10 Oktober, menghentikan serangan dua tahun Israel yang telah membunuh lebih 72,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan mencederakan lebih 171,000 yang lain sejak Oktober 2023.
Walaupun gencatan senjata, pasukan Israel telah melakukan ratusan pelanggaran yang didakwa melalui bedilan dan tembakan, membunuh 612 rakyat Palestin dan mencederakan 1,640 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lapor Anadolu.
























