Lima migran disahkan maut dan sekurang-kurangnya 20 lagi masih hilang selepas sebuah bot kayu yang membawa berpuluh-puluh orang terbalik di perairan selatan pulau terbesar Greece, Crete, awal Sabtu, kata pihak berkuasa, lapor berita Xinhua.
Insiden tragis itu berlaku kira-kira 15 batu nautika (27 km) di selatan Kala Limena, sebuah penempatan pantai di pantai selatan Crete, menurut pengawal pantai Greece.
Menurut Xinhua, penyiar kebangsaan Greece, ERT melaporkan tragedi itu berlaku apabila salah satu daripada dua kapal komersial yang dihantar oleh pusat mencari dan menyelamat kebangsaan menghampiri bot kayu migran.
Ketika penumpang cuba memanjat tangga yang diturunkan dari kapal, ramai yang bergerak serentak ke satu sisi vesel yang penuh sesak itu, menyebabkan ia terbalik.
Sebuah kapal kargo yang mengibarkan bendera Panama menyelamatkan 20 orang, manakala vesel dari Pengawal Pantai Hellenic dan agensi sempadan Kesatuan Eropah, Frontex, menemui tiga mayat. Dua lagi mayat kemudiannya ditemui di laut.
Mangsa yang terselamat memberitahu penyelamat bahawa kira-kira 50 orang berada di dalam bot, menimbulkan kebimbangan jumlah kematian mungkin meningkat. Operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan.
Greece, yang terletak di pinggir tenggara Eropah, kekal sebagai pintu masuk utama bagi pendatang dan pelarian yang cuba sampai ke Kesatuan Eropah melalui laut.























