Tiga komander dari kumpulan Hizbullah Lubnan dan lapan yang lain terbunuh, dengan 35 lagi cedera, dalam satu siri serangan udara Israel di timur Lubnan pada Jumaat, menurut sumber rasmi dan keselamatan Lubnan, lapor berita Xinhua.
Menurut Xinhua, Agensi Berita Kebangsaan (NNA) rasmi Lubnan melaporkan angka awal, menyatakan lebih 10 individu terkorban dan lebih 30 cedera dalam serangan udara ke atas sebuah bangunan di Riyaq, timur Lubnan.
Menurut Xinhua, sumber dari Pertahanan Awam Lubnan memberitahunya, jumlah kematian telah meningkat kepada 11 orang, dengan 35 cedera, sambil menambah bahawa usaha mencari orang hilang sedang dijalankan.
Xinhua melaporkan, sumber keselamatan yang berpengetahuan luas mendedahkan kepadanya, antara yang terkorban ialah tiga komander Hizbullah: Hussein Mohammad Yaghi, Ali Zeid al-Moussawi dan Mohammad Ibrahim al-Moussawi.
Menurut Xinhua, dalam satu kenyataan, Hizbullah meratapi komander Hussein Mohammad Yaghi, dengan menyatakan dia telah menjadi “syahid dalam mempertahankan Lubnan dan rakyatnya”.
Xinhua menyatakan, sumber keselamatan Lubnan memberitahunya, pesawat perang Israel telah melancarkan enam serangan udara ke atas kawasan di timur Lubnan, termasuk tapak Hizbullah.
Sejak 27 November 2024, perjanjian gencatan senjata antara Hizbullah dan Israel telah berkuat kuasa. Walaupun terdapat perjanjian ini, tentera Israel kadangkala melancarkan serangan di Lubnan.
















































