Sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh dan beberapa wanita dan kanak-kanak diculik selepas lelaki-lelaki bersenjata menyerang sebuah kampung di negeri Zamfara, barat laut Nigeria, lapor Reuters memetik seorang penggubal undang-undang negeri yang memberitahunya pada Jumaat.
Menurut Reuters, Hamisu A Faru, penggubal undang-undang yang mewakili Bukkuyum selatan, berkata penyerang menyerbu kampung Tungan Dutse dari sekitar jam 5 petang pada Khamis hingga sekitar jam 3:30 pagi pada Jumaat, membakar bangunan dan menembak penduduk yang cuba melarikan diri.
“Mereka telah berpindah dari satu kampung ke kampung lain … menyebabkan sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh,” Faru dilapor berkata kepada Reuters melalui telefon.
Dia dilapor berkata, bilangan mangsa yang diculik masih belum ditentukan. Pemimpin tradisional dan pegawai kerajaan tempatan masih mengira mereka yang hilang.
Menurut Reuters, Abdullahi Sani, 41, seorang penduduk Tungan Dutse, berkata tiga ahli keluarga terbunuh dalam serangan itu.
“Tiada siapa yang tidur semalam, kami semua kesakitan,” dia dilapor berkata.
Menurut laporan Reuters, sehari sebelumnya, penduduk menghubungi pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan apabila mereka melihat lebih 150 motosikal yang membawa lelaki-lelaki bersenjata. Tetapi amaran itu tidak diendahkan, Sani dilapor berkata.
Ketidakamanan merupakan kebimbangan mendesak di Nigeria dan kerajaan berada di bawah tekanan yang semakin meningkat untuk memulihkan kestabilan.
Terdapat peningkatan serangan yang dipersalahkan kepada “penyamun”, yang telah melakukan serangan maut, penculikan untuk mendapatkan wang tebusan, dan komuniti yang kehilangan tempat tinggal di utara Nigeria.























