Jumlah kematian dalam letupan lombong arang batu di negeri Meghalaya, timur laut India, meningkat kepada 32 orang, lapor media tempatan pada Khamis, menurut berita Xinhua.
Letupan itu berlaku pada 5 Februari di dalam lombong arang batu di Mynsyngat-Thangsko di daerah East Jaintia Hills, kira-kira 70 km di timur Shillong, ibu kota Meghalaya.
Kerajaan tempatan telah mengarahkan siasatan menyeluruh terhadap kejadian itu.
Meghalaya merupakan sebuah negeri yang kaya dengan mineral di India dan mempunyai hampir 640 juta tan rizab arang batu, menurut laman web kerajaan, lapor Xinhua.
Aktivis mengatakan perlombongan arang batu haram sedang berlaku di negeri itu walaupun terdapat larangan daripada mahkamah alam sekitar India, Tribunal Hijau Kebangsaan pada tahun 2014 terhadap perlombongan tidak saintifik di kawasan itu.
Pakar mengatakan penduduk tempatan mengekstrak arang batu secara haram menggunakan lombong “lubang tikus” yang berbahaya, yang bermaksud menggali di lereng bukit dan kemudian menggali terowong sempit mendatar untuk mencapai deposit arang batu.























