Sebuah trak yang membawa penumpang terbabas di utara Nigeria kerana dipandu secara melulu, membunuh sekurang-kurangnya 30 orang dan mencederakan beberapa orang lain, kata pihak berkuasa pada Ahad, menurut laporan AP.
Treler itu dipandu di lebuh raya di pekan Kwanar Barde di kawasan kerajaan tempatan Gezawa, Kano apabila ia hilang kawalan, menurut kenyataan daripada pejabat gabenor Kano.
Kemalangan jalan raya kerap berlaku di negara paling ramai penduduk di Afrika itu, sebahagiannya disebabkan oleh keadaan jalan raya yang buruk dan penguatkuasaan undang-undang lalu lintas lemah.
Trak yang terlibat dalam kemalangan terbaru itu membawa penumpang dan barangan menuju ke pekan Gujungu di Kano apabila ia terbabas awal pagi Ahad.
Mereka yang cedera, kebanyakannya mengalami kecederaan parah, sedang menerima rawatan perubatan di hospital yang berbeza, menurut kenyataan dikeluarkan oleh Sunusi Bature Dawakin Tofa, jurucakap Gabenor Kano, Abba Kabir Yusuf, lapor AP.
“Gabenor menyifatkan kejadian itu sebagai menyayat hati dan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga yang terjejas tetapi juga kepada seluruh rakyat Negeri Kano,” tambah kenyataan itu.
Kemalangan pada Ahad itu telah memperbaharui seruan daripada pegawai yang menggesa pematuhan peraturan lalu lintas dan mengancam hukuman berat bagi pesalah.
Pada Disember lalu, juara heavyweight British Anthony Joshua cedera dan dua rakan rapatnya terbunuh apabila pemandu mereka melanggar sebuah trak yang berhenti di Lebuhraya Lagos-Ibadan yang menghubungkan negeri Ogun ke Lagos. Pegawai berkata pemandu itu memandu laju, dan mendakwanya kerana memandu secara berbahaya.
















































