Utara Maghribi dilanda dua gempa bumi kecil pada Sabtu, ketika sebahagian besar wilayah terus bergelut dengan banjir meluas yang mengasingkan pekan-pekan, menenggelamkan kampung-kampung, dan memaksa pemindahan puluhan ribu penduduk, menurut laporan Anadolu.
Gegaran pertama, berukuran 3.8 pada skala Richter, direkodkan di kawasan Arbaa Taourirt di wilayah Al Hoceima, menurut Nasser Jabour, pengarah Institut Geofizik Kebangsaan Maghribi.
Gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 13 kilometer dan tidak menyebabkan sebarang kematian atau kerosakan material yang dilaporkan.
Gegaran kedua, berukuran 2.8, direkodkan di kawasan Tilouguite di wilayah Azilal, juga tanpa kerosakan.
Jabour dilapor berkata, berpuluh-puluh gegaran susulan yang lebih lemah dikesan di pelbagai bahagian negara pada hari yang sama, walaupun keamatannya tidak melebihi dua darjah dan sebahagian besarnya tidak dirasai oleh penduduk.
Aktiviti seismik berlaku ketika wilayah utara dan barat masih dibelenggu hujan luar biasa yang telah mencetuskan banjir teruk sejak akhir Januari, memutuskan jalan dan mengelilingi seluruh komuniti dengan air.
Menurut koresponden Anadolu di lapangan, beberapa pekan dan kampung, termasuk Oulad Hussein dekat Sidi Slimane dan Al-Hawafat di wilayah Sidi Kacem, masih dikelilingi oleh air banjir, mendorong Angkatan Tentera Diraja untuk menghantar bantuan makanan kepada penduduk terkandas.
Data rasmi menunjukkan banjir telah menjejaskan wilayah Larache, Kenitra, Sidi Kacem dan Sidi Slimane selepas Sungai Loukkos melimpah, susulan empangan Al-Wahda (Oued Al-Makhazine) mencapai 156% daripada kapasitinya buat kali pertama.
Menurut Anadolu, wartawan tempatan dan pemerhati alam sekitar Adel Al-Aoud berkata, beberapa komuniti luar bandar masih tidak dapat diakses beberapa hari selepas air banjir melimpah melalui kawasan itu, memaksa pihak berkuasa memindahkan penduduk ke tempat perlindungan sementara.
Dia dilapor berkata, pasukan kecemasan telah mengagihkan bekalan makanan, selimut dan ubat-ubatan ke kampung-kampung terpencil, manakala pasukan keselamatan telah menghalang orang awam daripada cuba menyeberangi kawasan berisiko dekat zon banjir.
Pada Jumaat, Kementerian Dalam Negeri dilapor berkata, lebih 154,000 orang telah dipindahkan dari wilayah terjejas banjir sejak 10 hari lalu, ketika hujan lebat terus merumitkan operasi menyelamat dan bantuan.
Maghribi kekal berjaga-jaga terhadap cuaca ekstrem susulan banjir maut yang melanda bandar Safi di barat pada Disember 2025, mengorbankan 37 orang, satu bencana yang terus membentuk usaha tindak balas kecemasan negara.
















































