Sekurang-kurangnya enam orang maut dan beberapa orang lagi cedera dalam kemalangan jalan raya di negeri utara India, Uttar Pradesh, awal pagi Sabtu, menurut seorang pegawai polis tempatan, lapor berita Xinhua.
Menurut Xinhua, kemalangan itu berlaku di Lebuhraya Yamuna yang menghubungkan New Delhi ke Uttar Pradesh, di daerah Mathura. Mangsa sedang berdiri di tepi jalan selepas turun dari bas persendirian yang mereka naiki, apabila sebuah kenderaan berat melanggar mereka.
Bas itu bergerak dari New Delhi ke Kanpur di Uttar Pradesh. Beberapa penumpang meminta pemandu untuk memberhentikan bas kerana mereka ingin membuang air kecil, dan beberapa yang lain turun dari bas dan berdiri di tepi jalan.
Tiba-tiba, sebuah kenderaan berat yang bergerak laju merempuh bas yang berhenti dan kemudian melanggar penumpang yang berdiri di tepi jalan. Sementara enam orang meninggal dunia serta-merta, beberapa yang lain cedera dan dimasukkan ke hospital tempatan, menurut pegawai polis itu.
















































