Pasukan keselamatan Pakistan membunuh 41 ‘pengganas’ dalam dua operasi berasaskan perisikan berasingan di wilayah barat daya Balochistan, kata tentera pada Jumaat, menurut berita Xinhua.
Operasi itu dijalankan pada 29 Januari susulan laporan perisikan mengenai kehadiran ‘pengganas’ di kawasan berbeza di wilayah itu, kata Perhubungan Awam Antara Perkhidmatan (ISPR), sayap media tentera Pakistan, dalam kenyataan itu, lapor Xinhua.
Dilaporkan, dalam operasi pertama, yang dijalankan di pinggir daerah Harnai, pasukan keselamatan menyasarkan tempat persembunyian ‘pengganas’. Berikutan berbalas tembakan sengit, 30 ‘pengganas’ terbunuh, kata kenyataan itu, sambil menambah bahawa sejumlah besar senjata, peluru dan bahan letupan telah ditemui dan dimusnahkan di lokasi terbabit.
Dalam operasi berasingan di daerah Panjgur, pasukan keselamatan memecah masuk satu lagi tempat persembunyian ‘pengganas’ dan membunuh 11 ‘pengganas’. Senjata, peluru dan wang tunai yang dijarah juga ditemui dari lokasi terbabit, kata tentera, menurut berita Xinhua.























