Jumlah kematian dalam kebakaran besar yang melanda dua gudang bersebelahan di negeri Bengal Barat di timur India meningkat kepada 19 orang, dengan ramai dilaporkan hilang, kata penyiar kerajaan All India Radio (AIR) pada Rabu, menurut berita Xinhua.
Kebakaran itu dilaporkan berlaku pada awal pagi Isnin di salah satu gudang, yang terletak di kawasan Najirabad di Anandapur, daerah South 24 Parganas, kira-kira 12 km di selatan Kolkata, ibu kota Bengal Barat.
Menurut Xinhua, laporan media tempatan mengatakan jumlah kematian mungkin meningkat kerana kira-kira 25 hingga 30 orang masih hilang.
Sementara itu, polis menahan pemilik gudang terbabit dan membawanya ke mahkamah, yang menghantarnya ke tahanan reman polis selama lapan hari.
Xinhua melaporkan, menurut AIR, pihak berkuasa telah mengarahkan siasatan untuk memastikan punca kebakaran, dan pasukan forensik telah mula mengumpul bukti dari lokasi terbabit.
Saluran berita tempatan itu dilapor berkata, beberapa pekerja dipercayai sedang tidur di dalam ketika kebakaran berlaku.
Pegawai bomba mengesyaki litar pintas mungkin telah mencetuskan kebakaran.























