Tembakan Israel membunuh tiga rakyat Palestin dalam dua insiden berasingan di Jalur Gaza pada Ahad, sementara sebuah dron Israel mencederakan empat yang lain di bandar Gaza, kata kementerian kesihatan wilayah itu pada Ahad, menurut laporan Reuters.
Petugas perubatan dilapor berkata, tembakan Israel membunuh sekurang-kurangnya dua orang di timur kawasan kejiranan Tuffah di utara Jalur Gaza, dan seorang lelaki berusia 41 tahun terbunuh oleh pasukan Israel di Khan Younis, di selatan kawasan terbabit.
Menurut Reuters, terdahulu, petugas perubatan berkata sebuah dron Israel meletup di atas bumbung sebuah bangunan bertingkat di bandar Gaza, mencederakan empat orang awam di jalan berdekatan.
Seorang jurucakap tentera Israel dilapor berkata, mereka tidak mengetahui sebarang kejadian di Khan Younis yang melibatkan seorang rakyat Palestin yang terbunuh akibat tembakan.
Menurut Reuters, jurucakap itu tidak memberi komen segera mengenai laporan penembakan lain terhadap rakyat Palestin di Tuffah.
Sementara itu, di Khan Younis, lebih 100 orang dilaporkan menghadiri pengebumian seorang yang terbunuh akibat tembakan dron Israel pada Sabtu, selepas mengadakan solat khas di hadapan mayatnya yang berbalut putih di rumah mayat di Hospital Nasser.
“Mereka pembohong, tiada gencatan senjata,” kata Fares Erheimat, saudara kepada lelaki yang terkorban, semasa pengebumian, lapor Reuters.
Gaza telah musnah menjadi runtuhan dalam perang yang dicetuskan oleh serangan di selatan Israel pada 7 Oktober 2023 di mana 1,200 orang dilapor terbunuh.
Kementerian kesihatan Gaza mengatakan lebih daripada 71,000 orang, kebanyakannya orang awam, telah terbunuh akibat tembakan Israel sejak itu. Ia juga mengatakan sekurang-kurangnya 480 orang telah terbunuh akibat tembakan Israel sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa Oktober tahun lalu.
Israel mengatakan empat askar telah terbunuh oleh militan di Gaza sejak gencatan senjata bermula. Kedua-dua pihak dikatakan saling menyalahkan atas pelanggaran gencatan senjata.
















































