Sepanyol tidak akan menyertai Lembaga Keamanan yang diketuai AS, kata Perdana Menteri Pedro Sanchez pada Khamis, memetik kebimbangan mengenai mandatnya dan kekurangan perwakilan Palestin, menurut laporan Anadolu.
Sanchez dilapor berkata, lembaga itu “di luar rangka kerja PBB” dan tidak termasuk Pihak Berkuasa Palestin.
“Masa depan Gaza harus diputuskan oleh rakyat Palestin,” katanya kepada wartawan selepas mesyuarat tidak rasmi pemimpin EU di Brussels.
“Dan masa depan kewujudan bersama mereka yang aman dan selamat dengan Israel juga mesti diputuskan terutama oleh Israel dan Palestin, melalui proses berasaskan dialog yang melaksanakan penyelesaian dua negara, membenarkan bantuan kemanusiaan masuk dan menjamin keamanan antara kedua-dua negara,” tambahnya.
Pemimpin Sepanyol itu berkata Sepanyol “menghargai” jemputan itu tetapi memutuskan untuk menolaknya atas sebab “kesesuaian” dengan dasar luar Madrid, yang katanya berdasarkan undang-undang antarabangsa dan institusi pelbagai hala.
“Sepanyol akan terus berusaha dalam proses keamanan bersama banyak rakan kongsi Eropah lain dan komuniti antarabangsa,” tambahnya.
Sehingga Khamis, lebih daripada 20 negara telah bersetuju untuk menyertai Lembaga Keamanan, termasuk Turkiye, Mesir, Qatar, Arab Saudi, Israel, Argentina, Hungary, Pakistan, Vietnam dan Albania, lapor Anadolu, Perancis dan Norway telah menolak jemputan untuk menyertai, manakala Presiden AS Donald Trump membatalkan jemputan Kanada.
Pada Khamis, presiden Majlis Eropah berkata para pemimpin Eropah mempunyai “keraguan serius mengenai beberapa elemen” piagam lembaga itu, termasuk skop, tadbir urus dan keserasiannya dengan Piagam PBB.
Walaupun lembaga itu pada asalnya difikirkan untuk menyelia gencatan senjata dan pembinaan semula Gaza, piagamnya meluaskan mandatnya untuk membina keamanan di semua kawasan yang terjejas atau berisiko konflik.

















































