Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh di Tunisia akibat hujan paling lebat sejak 1950 menyebabkan banjir di negara itu, menurut berita Xinhua memetik laporan Tunis Afrique Presse (TAP) dikendalikan oleh kerajaan pada Selasa.
Kematian berlaku antara petang Isnin dan Selasa di bandar Moknine di wilayah pantai timur Monastir, di mana hujan mencapai 230 mm, lapor Xinhua memetik TAP.
Khalil Meshri, ketua operasi dan susulan di Jabatan Perlindungan Awam, berkata unit pertahanan awam telah menjalankan lebih 106 intervensi menjelang 5 pagi waktu tempatan (0400 GMT) pada Selasa, termasuk pemeriksaan jalan dinaiki air dan memindahkan kenderaan terkandas akibat air semakin meningkat.
Menurut Meshri, mereka telah memindahkan 15 orang dan membantu kira-kira 300 orang lain dalam melintasi lembah dinaiki air dan kawasan berair, kerana hujan lebat menyebabkan sungai dan anak sungai melimpah, mewujudkan keadaan jalan berbahaya di beberapa wilayah.
Institut Meteorologi Kebangsaan mengeluarkan “amaran merah”, tahap tertinggi dalam sistem amarannya, untuk kawasan Grand Tunis, wilayah metropolitan terbesar Tunisia, Nabeul, dan wilayah Monastir.
















































