Pengawal Pantai Filipina (PCG) pada Selasa berkata ia menyelamatkan seorang lelaki dari sebuah bot bermotor yang membawa 15 orang yang hilang di perairan wilayah Davao Oriental di selatan Filipina, menurut berita Xinhua.
Dalam satu kenyataan, PCG daerah tenggara Mindanao dilapor berkata, mangsa yang terselamat, yang dikenal pasti sebagai anggota kru bot itu, ditemui pada pagi Selasa.
Dia segera dibawa ke tempat selamat sementara operasi mencari dan menyelamat diteruskan untuk baki 14 penumpang dan kru yang hilang.
Bot bermotor “rekreasi”, yang mempunyai empat kru dan 11 penumpang di atasnya, dilaporkan hilang pada Isnin, mendorong PCG untuk mengerahkan pasukan mencari dan menyelamat untuk menjelajah kawasan tempat bot itu terakhir dilihat.
Xinhua melaporkan, menurut pengawal pantai di Manila, bot bermotor itu berlepas dari bandar Davao pada Sabtu untuk ekspedisi menyelam tetapi gagal sampai ke destinasinya di perbandaran Gabenor Generoso pada Isnin.
















































