Sekurang-kurangnya 78 orang terbunuh dan 61 yang lain cedera akibat hujan lebat yang berterusan di seluruh Zimbabwe sejak bermulanya musim hujan pada Oktober, lapor berita Xinhua memetik Jabatan Perlindungan Awam (DCP) negara itu pada Isnin.
Dalam laporan situasi terkini, DCP berkata hujan lebat telah merosakkan 1,068 buah rumah, 41 sekolah, lima kemudahan kesihatan dan lima jambatan di seluruh negara.
Jabatan itu berkata lebuh raya utama terjejas teruk, mengganggu aliran lalu lintas dan menghalang pergerakan orang, barangan dan perkhidmatan penting.
Infrastruktur jalan raya bandar di beberapa bahagian negara juga mengalami kerosakan meluas, menyebabkan banyak jalan tidak dapat dilalui.
Xinhua melaporkan, menurut DCP, hujan lebat berpanjangan juga menyebabkan peningkatan konflik manusia-hidupan liar. Sebuah empangan di Daerah Seke, Wilayah Mashonaland Timur, telah menjadi zon bahaya disebabkan oleh peningkatan bilangan badak air, yang menimbulkan ancaman serius kepada komuniti berdekatan.
“Masyarakat tempatan telah berhenti menyeberangi empangan menggunakan kanu untuk aktiviti harian mereka, termasuk kehadiran ke sekolah, akses ke pasar, klinik dan perkhidmatan penting lain,” tambah DCP.
Musim hujan di Zimbabwe biasanya berlangsung dari Oktober hingga Mac, membawa hujan lebat dan ribut sekali-sekala.
















































