Dua rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dan dua lagi cedera dalam serangan Israel di Jalur Gaza pada Isnin, menandakan pelanggaran baharu perjanjian gencatan senjata yang bermula tahun lalu.
Menurut laporan Anadolu, sumber perubatan berkata seorang kanak-kanak ditembak di kepala oleh tentera Israel dan meninggal dunia akibat lukanya di kawasan al-Mawasi di Rafah di selatan Gaza. Umur kanak-kanak itu tidak dinyatakan.
Sumber itu dilapor berkata, seorang remaja Palestin berusia 17 tahun juga terbunuh selepas ditembak di perut oleh tembakan Israel dan dimasukkan ke Hospital Nasser di selatan Gaza.
Pasukan tentera Israel juga menembak dan mencederakan seorang lelaki berusia 20 tahun di bandar selatan Khan Younis, tambah sumber itu, menurut laporan Anadolu.
Seorang pemuda Palestin kedua dilapor cedera dalam letupan bom Israel di utara Gaza.
Sumber tempatan dilapor berkata, sebuah dron Israel menjatuhkan bom ke atas sekumpulan orang awam di pekan Beit Lahiya, mencederakan pemuda itu di kawasan yang tentera Israel berundur.
Bedilan artileri Israel juga dilaporkan di kawasan timur Deir al-Balah di tengah Gaza dan kawasan kejiranan al-Tuffah di bandar Gaza, lapor Anadolu, pasukan Israel juga melepaskan tembakan secara rawak di timur pekan Jabalia di utara Gaza.

















































