Ketua Polis Keselamatan Awam Iran, Seyed Majid Feiz Jafari, dilapor berkata pada Selasa, pasukannya menahan 297 ‘samseng’ semasa ‘rusuhan’ di negara itu.
Menurut berita Xinhua, dia membuat kenyataan itu dalam satu temu bual dengan agensi berita IRIB dikendalikan kerajaan, menekankan bahawa tahanan terbabit adalah organisasi yang bergabung dengan Israel dan Amerika Syarikat (AS) yang terlibat dalam menghasut ‘rusuhan’ di negara itu.
Tahanan terbabit telah merosakkan tempat-tempat keagamaan, bangunan kerajaan dan harta awam, dan menjarah barang-barang orang ramai semasa ‘rusuhan’ itu, katanya.
Ketika operasi untuk menangkap ‘samseng’, dua daripada mereka terbunuh dan 17 yang lain cedera, katanya, sambil menambah bahawa lebih 30 jenis senjata dan sejumlah besar bahan letupan telah dirampas daripada mereka.
Operasi itu berlaku ketika protes meletus di banyak bandar Iran sejak 28 Disember. Pada mulanya ia bermula dengan para pedagang bazar Tehran yang berdemonstrasi menentang penurunan nilai mata wang rial yang mendadak, dan inflasi melambung tinggi, sebelum merebak ke bandar-bandar lain. Pergolakan itu telah menyebabkan korban jiwa dalam kalangan pasukan keselamatan dan orang awam.
Terdahulu pada Selasa, pelbagai laporan media mengatakan televisyen kerajaan Iran telah mengakui bahawa Iran mempunyai “ramai syahid” dalam protes di seluruh negara, tanpa memberikan jumlah khusus, lapor Xinhua, Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia berpangkalan di AS menyatakan jumlah kematian seramai 2,003 orang.























