Sekurang-kurangnya 100 kanak-kanak dilaporkan terbunuh di Jalur Gaza sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober 2025.
Menurut berita Xinhua, jurucakap Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), James Elder, memberitahu pemberita pada taklimat PBB melalui pautan video dari Gaza bahawa agensi itu telah merekodkan laporan sekurang-kurangnya 60 kanak-kanak lelaki dan 40 kanak-kanak perempuan terbunuh di Jalur Gaza sejak gencatan senjata.
“Kelangsungan hidup masih bersyarat. Walaupun pengeboman dan penembakan telah berkurangan semasa gencatan senjata, ia tidak berhenti,” katanya.
Angka itu hanya termasuk insiden dengan butiran yang mencukupi untuk didokumenkan, jadi bilangan sebenar kanak-kanak Palestin yang terbunuh dijangka lebih tinggi, kata Elder, sambil menambah beratus-ratus kanak-kanak cedera.
Sambil memberi amaran bahawa dua tahun perang telah meninggalkan kehidupan yang sukar untuk kanak-kanak Gaza, Elder menyeru agar akses bantuan dibuka dan pemindahan perubatan diperluas dengan ketara.
Israel telah melancarkan serangan hampir setiap hari di Gaza sejak gencatan senjata yang rapuh itu berkuat kuasa, di mana pihak berkuasa kesihatan Gaza telah melaporkan lebih 400 kematian rakyat Palestin, lapor Xinhua.
















































