Komander tentera tertinggi Iran pada Selasa menuduh Amerika Syarikat (AS) dan Israel mengerahkan anggota kumpulan pengganas ISIS (Daesh) ke dalam negara untuk melancarkan serangan terhadap orang awam dan anggota keselamatan, lapor Anadolu.
Abdolrahim Mousavi, ketua staf angkatan tentera Iran, berkata langkah itu diambil susulan apa yang dia sifatkan sebagai kegagalan Washington dan Tel Aviv dalam “perang 12 hari” baru-baru ini menentang Iran, berita Anadolu memetik laporan Agensi Berita Tasnim separa rasmi.
Mousavi dilapor berkata anggota ISIS, yang dia sifatkan sebagai “tentera upahan,” dihantar ke negara itu untuk melancarkan serangan ganas yang menyasarkan orang awam dan pasukan keselamatan Iran.
“Iran tidak akan bertolak ansur dengan sebarang pelanggaran kedaulatan atau integriti wilayahnya,” katanya, sambil menambah bahawa pasukan keselamatan telah bertindak dengan berhati-hati dalam mengendalikan protes tetapi tidak akan membenarkan “anasir pengganas” beroperasi di jalanan.
AS mahupun Israel tidak mengeluarkan respons segera terhadap tuduhan itu.
Iran telah digegarkan oleh protes anti-kerajaan sejak bulan lalu di tengah-tengah keadaan ekonomi yang semakin buruk dan penyusutan rekod mata wang negara, rial, yang telah jatuh kepada 145,000 berbanding dolar AS, menyebabkan kenaikan harga barangan keperluan.
Pegawai Iran menuduh AS dan Israel menyokong apa yang mereka sifatkan sebagai “perusuh bersenjata” di negara itu.
Menurut Anadolu, tiada angka korban rasmi, tetapi Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia (HRANA), sebuah kumpulan hak asasi yang berpangkalan di AS, menganggarkan bahawa jumlah kematian telah mencecah sekurang-kurangnya 646, termasuk pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan, dengan lebih 1,000 cedera.
HRANA juga melaporkan sekurang-kurangnya 10,721 orang telah ditahan dalam protes di 585 lokasi di seluruh negara, termasuk 186 bandar di semua 31 wilayah, lapor Anadolu.

















































