Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, berkata negaranya bersedia untuk berperang tetapi tetap terbuka untuk dialog, selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata tentera AS sedang mempertimbangkan “pilihan yang sangat kuat” mengenai Iran di tengah-tengah pergolakan, menurut berita Xinhua.
Menurut Xinhua, dalam temu bual dengan Al Jazeera pada Isnin, Araghchi berkata, “jika Washington mahu menguji pilihan ketenteraan yang ia uji sebelum ini, kami bersedia untuknya,” sambil menambah bahawa dia berharap AS akan memilih dialog.
Menurutnya, komunikasi dengan utusan khas AS Steve Witkoff telah “berterusan sebelum dan selepas protes dan masih berterusan”.
Temu bual Araghchi susulan ancaman Trump untuk menggunakan “beberapa pilihan yang sangat kuat,” termasuk potensi tindakan ketenteraan terhadap Iran, sebagai tindak balas kepada “tindakan keras” Iran terhadap peserta protes.
Trump dilapor memberitahu pemberita pada Ahad bahawa pegawai Iran telah menghubungi AS untuk mencadangkan rundingan, sambil menambah bahawa “satu mesyuarat sedang dijadualkan”.
Protes telah meletus di banyak bandar Iran sejak 28 Disember, lapor Xinhua, pada mulanya ia bermula dengan peniaga bazar Tehran yang berdemonstrasi menentang penurunan nilai mata wang negara yang mendadak, dan inflasi yang melambung tinggi, sebelum merebak ke bandar-bandar lain.
Pergolakan itu telah menyebabkan korban dalam kalangan pasukan keselamatan dan orang awam, lapor Xinhua, pergolakan itu mencetuskan dakwaan pihak berkuasa Iran bahawa AS dan Israel mungkin berada di sebalik tabir.
Menurut Xinhua, dalam temu bualnya dengan Al Jazeera, Araghchi juga menjelaskan sebab di sebalik penutupan Internet Iran susulan pergolakan itu.
“Kami telah merakam suara individu yang memberi arahan dari luar negara kepada ejen pengganas, mengarahkan mereka untuk menembak pasukan polis dan menembak penunjuk perasaan jika pasukan polis tidak hadir. Niat mereka adalah untuk menyebarkan pembunuhan,” kata Araghchi.























