Hujan lebat melanda ibu kota Indonesia, Jakarta pada Isnin, menyebabkan banjir yang menenggelamkan kawasan kejiranan dan jalan raya utama, menurut berita Anadolu memetik laporan media tempatan.
Agensi Pengurusan Bencana Wilayah Jakarta (BPBD) melaporkan banjir menjejaskan 22 unit kejiranan di Jakarta Selatan, Jakarta Utara dan Jakarta Timur, manakala 33 jalan di bandar itu tenggelam, menurut laporan Anadolu memetik agensi berita Antara.
“Kami mengerahkan kakitangan untuk memantau keadaan banjir di setiap kawasan,” kata Mohamad Yohan, ketua Pusat Data dan Maklumat Bencana BPBD.
Dia dilapor berkata, air banjir terus merebak sejak pagi apabila hujan berterusan melanda Jakarta dan kawasan sekitarnya.
Minggu lalu, sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dalam banjir kilat di wilayah timur negara itu, Sulawesi Utara, menurut Anadolu.
Banjir yang melanda Pulau Sumatra di Indonesia sejak akhir November (tahun lalu) menyebabkan sekurang-kurangnya 1,178 orang terkorban, dengan 148 orang lagi masih hilang, Anadolu memetik data agensi bencana.























