Jumlah kematian akibat runtuhan tapak pelupusan sampah di Filipina dilapor meningkat kepada lapan orang selepas dua lagi mayat ditemui, ketika pasukan penyelamat meneruskan pencarian berpuluh-puluh orang hilang pada hari kelima bencana itu.
Menurut Balai Bomba Bandar Cebu, mayat dua wanita telah dikeluarkan dari runtuhan malam tadi, menurut berita Anadolu memetik laporan ABS-CBN.
Operasi mencari masih dijalankan untuk 28 pekerja yang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan.
Pihak berkuasa sebelum ini menyelamatkan 12 pekerja dari timbunan sampah yang runtuh itu dan membawa mereka ke hospital untuk rawatan.
Kejadian itu dilaporkan berlaku pada Khamis di sebuah kemudahan tapak pelupusan sampah yang dikendalikan secara persendirian di Bandar Cebu, yang terletak di wilayah Visayas Tengah, menimbus pekerja yang berada di lokasi pada masa itu.
Pasukan penyelamat menggunakan jentera berat dan penggalian manual ketika harapan untuk mencari mangsa terselamat semakin berkurangan.
















































