Lima kepala manusia ditemui tergantung pada tali di pantai di barat daya Ecuador, menurut laporan AP memetik polis pada Ahad, ketika negara itu terhuyung-hayang akibat gelombang keganasan berkaitan pengedaran dadah.
Menurut AP, imej diterbitkan oleh saluran media Ecuador menunjukkan kejadian berdarah itu. Di sebelah kepala-kepala itu terdapat tanda amaran yang ditujukan kepada peras ugut nelayan di pelabuhan perikanan kecil Puerto Lopez. Tali-tali itu dipasang pada tiang kayu di pantai.
Satu laporan polis mengaitkan kejadian itu dengan konflik antara kumpulan jenayah.
Rangkaian pengedaran dadah yang mempunyai kaitan dengan kartel transnasional aktif di kawasan itu dan telah menggunakan nelayan dan bot kecil mereka untuk aktiviti haram mereka, menurut AP memetik pihak berkuasa.
Pertikaian untuk wilayah dan kawalan laluan pengedaran dadah telah mencetuskan episod keganasan di seluruh wilayah Manabi, di mana Puerto Lopez terletak.
Polis pada Sabtu dilapor berkata, mereka telah menjalankan operasi kawalan dan pengawasan di Puerto Lopez di tengah-tengah keadaan darurat yang sedang dikuatkuasakan di sembilan daripada 24 wilayah negara Andean itu, termasuk Manabi.
Keadaan darurat bertujuan untuk membendung lingkaran keganasan, terutama di kawasan pesisir pantai, dan menyekat hak sivil tertentu.
Kawalan polis di Puerto Lopez meningkat selepas pembunuhan beramai-ramai yang menyebabkan enam orang terkorban dua minggu lalu, menurut laporan AP, serangan bersenjata kedua tiga hari kemudian menyebabkan jumlah kematian yang sama di Manta, juga di wilayah Manabi.
Ecuador telah dilanda gelombang keganasan selama lebih empat tahun selepas menjadi pusat logistik untuk penyimpanan dan pengedaran dadah yang masuk terutama melalui sempadan utara dengan Colombia dan sempadan selatan dengan Peru.
2025 merupakan tahun paling ganas dalam rekod Ecuador, dengan lebih 9,000 pembunuhan menurut angka rasmi, mengatasi rekod pada 2023 dengan 8,248 kematian, menurut AP.
















































