Seorang wartawan yang membuat liputan jenayah di negeri pantai Teluk Mexico, Veracruz, terbunuh pada malam Khamis di bandar Poza Rica, lapor AP memetik sebuah entiti negeri.
Suruhanjaya Negeri untuk Perhatian dan Perlindungan Wartawan dilapor berkata dalam satu kenyataan, ia mengutuk pembunuhan itu dan menyeru siasatan menyeluruh.
Suruhanjaya itu mengenal pasti mangsa hanya dengan nama pertamanya selaras dengan dasar negeri, tetapi saluran tempatan mengenal pastinya sebagai Carlos Castro, pengarah saluran dalam talian bernama Código Norte Veracruz, yang turut bekerjasama dengan saluran serantau lain.
Seorang lagi wartawan tempatan di tempat kejadian, yang meminta namanya dirahsiakan untuk keselamatan, berkata Castro ditembak di sebuah restoran di bandar itu, menurut laporan AP, polis negeri dan tempatan, serta Pengawal Kebangsaan bertindak balas ke tempat kejadian.
Wartawan itu dilapor berkata, Castro baru-baru ini kembali ke bandar itu selepas menghabiskan beberapa bulan di luar negeri kerana ancaman, dan dia telah menerima langkah perlindungan daripada suruhanjaya negeri. Castro juga telah berpindah ke negeri Guanajuato pada 2024 untuk melarikan diri daripada ancaman.
Castro merupakan wartawan pertama yang terbunuh tahun ini di Mexico, yang dari segi sejarahnya merupakan antara yang paling dahsyat di rantau itu bagi wartawan, lapor AP, menurut Jawatankuasa Perlindungan Wartawan yang berpangkalan di AS, enam wartawan dan pekerja media terbunuh di Mexico tahun lalu.
















































