Seorang lelaki ditemui lemas pada Khamis di bandar Durres, Albania dan pasukan kecemasan bekerja sepanjang masa untuk memindahkan orang dari rumah-rumah dibanjiri yang dilanda hujan lebat, menurut laporan Reuters.
Seorang pekerja perbandaran berusia 55 tahun yang hilang pada Selasa ditemui mati di terusan saliran di Durres, mungkin dihanyutkan oleh arus, menurut kementerian dalam negeri, seperti dilaporkan Reuters.
Negara-negara Balkan Barat telah mengalami gangguan akibat salji dan cuaca musim sejuk yang lain sejak Ahad, dengan penutupan jalan raya dan landasan kereta api, gangguan bekalan elektrik dan air minuman terjejas, menurut laporan agensi berita itu.
Pasukan kecemasan menggunakan bot untuk memindahkan penduduk kampung yang terperangkap di rumah-rumah yang dilanda banjir di kawasan sekitar pekan lain di barat daya Albania, Fier dan Vlora, selepas Sungai Viosa naik lebih 9 meter, lapor Reuters memetik kementerian pertahanan.
Di negara jiran Kosovo, di mana kawasan tanah yang luas telah dibanjiri sejak beberapa hari lalu, hujan telah digantikan dengan salji pada Khamis, lapor Reuters, Bosnia juga telah dilanda salji.
Suhu -14 darjah Celsius (7 darjah Fahrenheit) telah direkodkan pada pagi Khamis di ibu kota Croatia, Zagreb, dengan ahli meteorologi meramalkan musim sejuk baharu pada Ahad dengan suhu yang lebih rendah, lapor Reuters.
















































