Seramai 272 orang maut dan 1,464 yang lain cedera akibat 1,511 kemalangan jalan raya di seluruh Thailand semasa tempoh perjalanan tahun baru selama seminggu, menurut laporan rasmi pada Selasa, berita Xinhua melaporkan.
Menurut Kementerian Dalam Negeri, kempen keselamatan jalan raya “Tujuh Hari Berbahaya”, yang berlangsung dari 30 Disember hingga 5 Januari, menyaksikan penurunan bilangan kemalangan jalan raya, kecederaan dan kematian berbanding tahun sebelumnya, lapor Xinhua.
Timbalan Setiausaha Tetap Dalam Negeri, Chaiwat Chuenkosum, dilapor berkata statistik itu mencerminkan trend positif dengan penurunan jumlah korban.
Bagaimanapun, dia menyatakan bahawa memandu laju kekal sebagai punca utama kemalangan maut, diikuti oleh pemanduan mabuk dan pertukaran lorong secara mengejut.
Ibu kota Bangkok mencatatkan jumlah kematian tertinggi dengan 22 kematian, manakala pulau peranginan selatan di Phuket mencatatkan jumlah kemalangan dan kecederaan terkumpul tertinggi masing-masing sebanyak 55 dan 58, Chaiwat dilapor berkata pada taklimat akhbar.























