Dua orang maut dan 12 lagi cedera selepas gempa bumi berukuran 6.5 magnitud melanda selatan Mexico pada Jumaat, kata pihak berkuasa tempatan, menurut berita Xinhua.
Seorang wanita berusia 50 tahun terbunuh selepas rumahnya runtuh di negeri Guerrero, pusat gempa bumi, Evelyn Salgado, gabenor negeri dilapor berkata.
Manakala seorang lelaki berusia 60-an meninggal dunia selepas tersandung dan pengsan di perbandaran Benito Juarez, Bandar Raya Mexico, semasa pemindahan yang disebabkan oleh gempa bumi, Xinhua memetik kenyataan rasmi daripada perbandaran.
Clara Brugada, ketua kerajaan Bandar Raya Mexico, dilapor berkata di X bahawa selepas mengaktifkan protokol tindak balas gempa bumi, laporan terkini menunjukkan 12 orang cedera, serta 18 aduan disebabkan kekurangan bekalan elektrik di pelbagai kawasan kejiranan.
Dia menambah bahawa dua struktur sedang dinilai untuk risiko runtuh, dan 34 bangunan dan lima rumah sedang diperiksa sebagai langkah pencegahan.
Perkhidmatan Seismologi Nasional Mexico dilapor sebagai berkata gempa bumi itu berlaku pada jam 7:58 pagi waktu tempatan (1358 GMT), dengan pusat gempa terletak kira-kira 4 km barat daya San Marcos di negeri selatan Guerrero, pada kedalaman kira-kira 5 km.
Di Bandar Raya Mexico, pembesar suara di jalanan dilapor menyiarkan amaran seismik beberapa saat sebelum gegaran dirasai.























