Baki 130 pelajar sekolah Nigeria yang diculik pada November dari sebuah sekolah Katolik di negeri Niger telah dibebaskan, kata jurucakap Presiden Bola Tinubu pada Ahad, susulan salah satu penculikan beramai-ramai terbesar di negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menurut laporan Reuters.
“Baki 130 kanak-kanak sekolah yang diculik oleh pengganas…kini telah dibebaskan. Mereka dijangka tiba di Minna pada Isnin dan bersama semula ibu bapa mereka untuk sambutan Krismas,” kata Bayo Onanuga dalam satu catatan di X, menurut Reuters.
“Pembebasan pelajar sekolah itu susulan operasi yang dipacu oleh perisikan tentera.”
Pelajar-pelajar itu adalah antara lebih 300 murid dan 12 kakitangan yang diculik oleh lelaki bersenjata dari sekolah berasrama Katolik St Mary di kampung Papiri pada awal pagi 21 November.
Lima puluh kanak-kanak itu berjaya melarikan diri pada masa itu, kata Persatuan Kristian Nigeria sebelum ini, manakala kerajaan Nigeria berkata pada 8 Disember ia telah berjaya menyelamatkan 100 daripada mereka yang diculik, menurut Reuters.
Onanuga dilapor berkata, jumlah pelajar yang dibebaskan kini mencecah 230 orang.
Penculikan itu dikatakan menimbulkan kemarahan terhadap keadaan tidak selamat yang semakin buruk di utara Nigeria, di mana kumpulan bersenjata kerap menyasarkan sekolah untuk mendapatkan wang tebusan.
Penculikan di sekolah melonjak selepas militan Boko Haram menculik 276 gadis dari Chibok pada 2014, menurut Reuters.























