Lima ahli keluarga sama, termasuk seorang kanak-kanak, terbunuh pada Ahad apabila rumah mereka yang rosak akibat perang runtuh di kawasan kejiranan Sheikh Radwan di bandar Gaza, menurut laporan Xinhua memetik sumber Palestin.
Sehubungan itu, pertahanan awam di kawasan itu dilapor menggesa penduduk untuk mengosongkan bangunan rosak akibat perang yang dianggap “tidak boleh didiami” dengan menyatakan 22 buah rumah telah runtuh sebahagian atau sepenuhnya sejak 10 Disember lalu di tengah-tengah cuaca musim sejuk teruk.
Sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu, sejumlah 46 bangunan telah runtuh di Jalur Gaza.
Pihak berkuasa memberi amaran keadaan musim sejuk dan kekurangan perumahan sementara memburukkan lagi krisis.
Hamas menyeru pengantara gencatan senjata untuk menekan Israel agar membenarkan pembinaan semula dan menyediakan tempat perlindungan yang mencukupi, dengan memetik sekatan yang berterusan dan risiko kepada penduduk yang tinggal di struktur usang.























