Pesawat perang Israel melancarkan siri serangan udara di selatan dan timur Lubnan pada Jumaat, meskipun terdapat gencatan senjata yang dilaksanakan sejak akhir 2024, lapor Anadolu memetik Agensi Berita Nasional (NNA) rasmi Lubnan.
Menurut Anadolu, agensi itu berkata empat serangan menyasarkan al-Mahmoudiya dan al-Jermq dekat al-Aishiyeh di daerah Jezzine, manakala serbuan tambahan melanda Tebna dan Wadi Bnaafoul di kawasan Zahrani di Nabatieh. Wilayah Zahrani juga diserang di antara al-Zrarieh dan Ansar, dan di antara Taffhta dan al-Baysariyeh.
Jet Israel juga dilapor melancarkan serangan selanjutnya ke atas al-Jabal al-Rafih dan pinggir Sajjid, al-Rihan, dan Aramta di Jezzine, serta kawasan di pinggir Jbaa di Nabatieh. Kawasan di antara Ansar dan al-Zrarieh juga dilapor mengalami pengeboman intensif.
Dilaporkan, di timur Lubnan, empat serangan menyasarkan Wadi Zlayya di Bekaa Barat, dengan pesawat Israel terus terbang pada altitud sederhana di kawasan itu.
Tentera Israel dilapor berkata, ia menyerang “kawasan latihan dan kelayakan” yang digunakan oleh Pasukan Radwan Hizbullah untuk latihan senjata dan kursus operasi.
Gencatan senjata telah dilaksanakan di Lubnan sejak November 2024, selepas lebih setahun serangan yang mengorbankan lebih 4,000 orang dan mencederakan 17,000 yang lain berlatarbelakangkan perang genosid Israel di Gaza, menurut Anadolu.
Sekurang-kurangnya 335 orang telah terbunuh dan 973 yang lain cedera dalam 1,038 serangan Israel sejak gencatan senjata berkuat kuasa, Anadolu memetik Kementerian Kesihatan Lubnan.
Tentera Israel dikatakan sepatutnya berundur dari selatan Lubnan pada Januari 2025 di bawah gencatan senjata, tetapi sebaliknya hanya sebahagiannya berundur dan terus mengekalkan kehadiran tentera di lima pos kawalan sempadan.























