Pusat Warisan Dunia UNESCO mengesahkan ia sedang memantau rapat dan menilai kerosakan beberapa kuil ikonik Kemboja susulan laporan ia terkena tembakan tentera Thailand semasa pertempuran sempadan diperbaharui, lapor Agence Kampuchea Presse (AKP).
Bercakap dari Perancis melalui pautan video ke Sesi Pleno ke-32 Jawatankuasa Penyelaras Antarabangsa untuk Perlindungan dan Pembangunan Tapak Bersejarah Angkor dan Sambor Prei Kuk (ICC-Angkor/Sambor Prei Kuk) pada 12 Dis 2025, Lazare Eloundou Assomo, Pengarah Pusat Warisan Dunia, menekankan “warisan budaya yang sangat kaya” Kemboja yang mempunyai kepentingan global, lapor agensi berita itu.
Menurut AKP, Assomo menyatakan UNESCO sedang menjalankan pemantauan terperinci dan menyediakan sokongan teknikal dan kecemasan untuk membantu melindungi tapak warisan Kemboja, selaras sepenuhnya dengan rangka kerja perundangan antarabangsa.
Kenyataan beliau itu kata AKP, susulan laporan bahawa pasukan Thailand menggunakan senjata berat terhadap monumen Khmer purba, termasuk Kuil Ta Krabey dan kompleks Kuil Preah Vihear, semasa konfrontasi bersenjata di sempadan yang dipertikaikan.
UNESCO pertama kali menyatakan “kebimbangan yang mendalam” pada 10 Disember mengenai ketegangan yang semakin meningkat antara Kemboja dan Thailand, terutama di kawasan sekitar tapak Warisan Dunia Kuil Preah Vihear, menurut AKP.
Pertubuhan itu dilapor menggesa semua pihak untuk segera melaksanakan langkah bagi melindungi warisan budaya dalam semua bentuknya dan mematuhi sepenuhnya kewajipan antarabangsa, khususnya memetik Konvensyen Hague 1954 untuk Perlindungan Harta Budaya Sekiranya Berlaku Konflik Bersenjata dan Konvensyen Warisan Dunia 1972.























