Kesatuan Eropah (EU) berkata pada Khamis, serangan udara maut oleh tentera Myanmar ke atas sebuah hospital di negeri Rakhine merupakan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa, lapor Anadolu.
“Serangan ke atas sebuah hospital di Rakhine oleh rejim tentera Myanmar adalah pelanggaran Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa. Orang awam, yang cedera, dan kakitangan perubatan mesti dilindungi dalam semua keadaan,” kata jurucakap Suruhanjaya EU, Anitta Hipper.
“Kami menzahirkan solidariti kami dengan mangsa dan keluarga mereka,” tulis Hipper di X, menurut Anadolu.
Sekurang-kurangnya 33 orang terbunuh dan 76 cedera apabila tentera Myanmar menyerang hospital di Mrauk-U, sebuah pekan dekat sempadan dengan Bangladesh. Pihak berkuasa tentera tidak mengakui menjalankan sebarang operasi di kawasan itu.
Tentera Myanmar merampas kuasa pada 1 Februari 2021, selepas mendakwa penipuan dalam pilihan raya 2020, menahan pemimpin awam Aung San Suu Kyi dan pegawai kanan. Rampasan kuasa itu mencetuskan protes besar-besaran yang ditindas secara ganas dan kemudiannya berkembang menjadi penentangan bersenjata.
Lebih 6,000 orang telah terbunuh dan hampir 3 juta orang kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran antara junta dan kumpulan pembangkang, menurut pemantau hak asasi manusia, lapor Anadolu.

















































