Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) berkata bilangan anggota tentera daratnya yang terbunuh dalam serangan ‘pengganas’ pada Rabu meningkat kepada empat orang, lapor Xinhua.
Anggota keempat meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya dalam pertempuran dengan ‘pengganas’ di kawasan Lar, timur laut ibu kota wilayah Zahedan di wilayah tenggara Sistan dan Baluchestan, Xinhua memetik laporan IRGC melalui saluran berita rasminya Sepah News, tanpa menyatakan gabungan penyerang.
Ia mengenal pasti anggota yang terbunuh sebagai Sajjad Marashi, Mohammad Bazi, Alireza Nasirabadi Sarhadi dan Alireza Piri, sambil menambah bahawa pemburuan telah dilancarkan untuk menangkap penyerang.
Dalam kenyataan terdahulu, IRGC berkata tiga askarnya dibunuh oleh anggota “kumpulan pengganas dan musuh” semasa dalam misi melindungi sempadan Iran.
Bersempadan dengan Pakistan dan Afghanistan, wilayah Sistan dan Baluchestan telah menyaksikan beberapa serangan ‘pengganas’ ke atas orang awam dan pasukan keselamatan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.























