Ribut kuat, dinamakan Byron oleh ahli meteorologi tempatan, terus membadai Greece untuk hari kedua berturut-turut pada Jumaat, mencetuskan banjir yang meluas, menurut berita Xinhua.
Mandra, sebuah pekan di wilayah barat, Attica kira-kira 20 km dari Athens, adalah antara kawasan yang paling teruk dilanda.
Banjir teruk itu menghidupkan kembali kenangan pahit mengenai bencana 2017 di sana, apabila 24 orang kehilangan nyawa semasa kejadian cuaca ekstrem yang sama.
Jalan-jalan bertukar menjadi tasik, dan rumah serta perniagaan ditenggelami lumpur di tengah-tengah hujan lebat.
Kali ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan di Mandra atau di tempat lain di Greece. Sejak pagi Khamis, Bomba telah menerima hampir 600 panggilan bantuan, termasuk permintaan untuk memindahkan 22 orang ke tempat selamat, 10 daripadanya di Mandra.
Menurut Balai Cerap Negara di Athens, hujan paling lebat direkodkan dari petang Khamis hingga pagi Jumaat mencecah 251 milimeter di Nea Peramos berdekatan, salah satu pengukuran 24 jam tertinggi sejak 2008.
Pegawai tempatan dilapor berkata, kerja anti-banjir yang dijalankan dalam beberapa tahun kebelakangan ini berkemungkinan menghalang satu lagi tragedi, walaupun mereka menekankan bahawa penambahbaikan selanjutnya masih diperlukan.
Sepanjang 48 jam lalu, hujan lebat disertai ribut petir dan angin kencang telah menyebabkan kerosakan yang ketara kepada kediaman, perniagaan, tanah ladang dan infrastruktur di banyak bahagian Greece, dari pulau Zakynthos di barat ke tanah besar, semenanjung Peloponnese dan pulau Aegean seperti Crete dan Rhodes di tenggara, menurut Xinhua.
Hampir semua wilayah di negara ini (12 daripada 13) diletakkan di bawah amaran “kod merah”, tahap tertinggi, hingga Sabtu.
Sekolah tetap ditutup, dan pihak berkuasa menggesa orang ramai untuk mengelakkan perjalanan yang tidak perlu.
Perkhidmatan Meteorologi Nasional melaporkan keadaan cuaca buruk dijangka berterusan sehingga tengah hari pada Sabtu, menurut Xinhua.























