Ketua UMNO Sabah merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, dilaporkan menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 1:46 pagi tadi semasa menerima rawatan di sebuah hospital swasta.
Menurut BH Online, jenazah Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu, dibawa keluar dari Hospital Gleneagles pada jam 3:05 pagi.
Difahamkan urusan pengurusan jenazah Bung bermula dengan ziarah di kediamannya di Idang Residen, Luyang mulai jam 8 hingga 9.30 pagi ini manakala mandi jenazah jam 10 pagi di Masjid Bandaraya, menurut BH Online.
Solat jenazah dijangka selepas solat Jumaat di masjid sama dan pengebumian di Tanah Perkuburan Kampung Likas, lapor portal berita itu.























